
KANSER PROSTAT

Prostat sihat (kiri) vs prostat berkanser (kanan)
KANSER PROSTAT
Apa itu kanser prostat?
-
Kanser prostat adalah kanser yang berlaku di prostat iaitu kelenjar berbentuk 'buah walnut' kecil pada lelaki yang menghasilkan cairan semen.
-
Beberapa jenis kanser prostat merebak dengan perlahan dan mungkin memerlukan rawatan minimum. Terdapat juga jenis kanser prostat yang agresif dan dapat merebak dengan cepat.
-
Kanser prostat yang dapat dikesan lebih awal iaitu apabila ianya masih terhad merebak di sekitar kelenjar prostat akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk disembuhkan dengan sepenuhnya.
-
Kanser prostat yang telah merebak ke bahagian lain badan mungkin masih dapat dikawal, tetapi ianya tidak dapat disembuhkan dengan sepenuhnya.

Kedudukan prostat
Apa tanda-tandanya?
Selalunya, tiada tanda-tanda yang dapat dilihat pada seseorang apabila dia mempunyai kanser prostat yang masih berada pada peringkat awal.
Kanser prostat yang telah melepasi peringkat awal mungkin menunjukkan tanda-tanda berikut:
-
Ketidakselesaan di kawasan pelvis
-
Masalah kencing
-
Kesakitan tulang
-
Mati pucuk (erectile dysfunction)
-
Darah dalam air mani
-
Aliran air kencing yang lemah
Apa puncanya?
Pakar-pakar perubatan masih tidak dapat menentukan punca utama kanser prostat. Mereka berpendapat ianya berkemungkinan besar disebabkan oleh interaksi rumit genetik dan persekitaran anda:
-
Peningkatan usia: Semakin tua umur anda, semakin tinggi kemungkinan anda menghidap kanser prostat.
-
Sejarah keluarga kanser prostat: Risiko untuk menghidap kanser prostat meningkat jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan anda pernah menghidap kanser prostat.
-
Obesiti: Menjadi gemuk meningkatkan kemungkinan anda menghidap kanser prostat.


Pemeriksaan rektum digital (DRE)
Bagaimana mencegah & membendungnya?
Antara langkah yang boleh diambil untuk mencegah kanser prostat adalah:
-
Membuat pemeriksaan kanser prostat dengan doktor pada:
-
Umur 40 tahun: Sekiranya terdapat dua atau lebih ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan anda pernah menghidap kanser prostat.
-
Umur 45 tahun: Sekiranya terdapat satu ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan anda pernah menghidap kanser prostat.
-
Umur 50 tahun: Sekiranya tiada ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah dengan anda pernah menghidap kanser prostat.
-
Kekerapan pemeriksaan selanjutnya akan berdasarkan keputusan pemeriksaan pertama anda.
-
Kerap bersenam untuk mengurangkan berat badan dan mengekalkan kesihatan badan.
-
Selalu memeriksa tanda-tanda kanser prostat pada diri. Dapatkan rawatan semasa ianya masih berada pada peringkat awal.
Bagaimana ia dikesan?
Jikalau terdapat tanda-tanda kanser prostat yang telah dinyatakan, bincangkan dengan doktor mengenai situasi khusus anda. Dengan nasihat doktor, anda boleh memutuskan sama ada pemeriksaan kanser prostat tersebut adalah tepat untuk anda.
Ujian PSA yang digabungkan dengan DRE dapat membantu mengenal pasti kanser prostat pada peringkat awal mereka:
-
Ujian antigen spesifik prostat (PSA). Sampel darah anda akan diambil dan dianalisis untuk PSA, iaitu bahan yang dihasilkan oleh kelenjar prostat anda. Jikalau kandungan PSA didapati lebih tinggi daripada paras normal, anda mungkin mempunyai jangkitan prostat, keradangan, pembesaran prostat ataupun kanser.
-
Pemeriksaan rektum digital (DRE). Semasa DRE, doktor akan memeriksa prostat anda yang berada bersebelahan dengan rektum. Sekiranya doktor anda mendapati ada sebarang kelainan dalam tekstur, bentuk atau saiz kelenjar prostat, anda mungkin memerlukan pemeriksaan selanjutnya.
Sekiranya ujian DRE atau PSA mengesan sesuatu yang tidak normal, doktor anda mungkin mengesyorkan ujian lanjut untuk pengenalpastian kanser prostat seperti:
-
Biopsi Prostat (mengumpul sampel tisu prostat dan dianalisis di makmal untuk menentukan kehadiran sel kanser)
-
Ultrasound Transrectal (alat kecil yang mengeluarkan gelombang bunyi akan digunakan untuk menghasilkan gambar kelenjar prostat anda)
-
Kaedah MRI
Jikalau kanser prostat anda didapati telah merebak ke bahagian lain badan, doktor mungkin akan membuat ujian pengimejan seperti berikut di seluruh atau sebahagian badan anda bagi mengenal pasti lokasi sel-sel kanser:
-
Ultrasound
-
Imbasan tulang (bone scan)
-
Pengimejan resonans magnetik (MRI)
-
Pengimbas tomografi pelepasan positron (PET scan)
-
Pemeriksaan tomografi berkomputer (CT scan)
Bagaimana ia dirawat?
Rawatan segera mungkin tidak diperlukan bagi lelaki yang disahkan mempunyai kanser prostat berisiko rendah. Sebaliknya, doktor akan mencadangkan pengawasan aktif, di mana anda perlu membuat pemeriksaan susulan untuk memantau perkembangan kanser anda. Bincangkan dengan doktor anda jenis rawatan yang terbaik untuk keadaan khusus anda.

Terapi radiasi untuk kanser prostat
Antara kaedah-kaedah rawatan kanser prostat adalah:
-
Terapi radiasi: Menggunakan tenaga radiasi berkuasa tinggi (spt. X-ray, proton) untuk membunuh sel-sel kanser.
-
Pembedahan untuk membuang prostat: Sama ada secara manual ataupun menggunakan robot.
-
Pembekuan tisu prostat: Melibatkan kaedah membekukan tisu-tisu prostat untuk membunuh sel-sel kanser.
-
Kemoterapi: Menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel-sel yang berkembang pesat termasuk sel-sel kanser.
-
Terapi hormon: Rawatan untuk mengawal paras hormon testosteron dalam badan anda untuk mematikan sel-sel kanser atau menyekat sel-sel kanser daripada berkembang.
Bila anda perlu berjumpa doktor?
-
Buat appointment dengan doktor anda jika anda mempunyai tanda-tanda penyakit kanser prostat yang membimbangkan.
-
Setiap hospital mempunyai kaedah yang berbeza untuk saringan kanser prostat.
-
Bincangkan pemeriksaan kanser prostat dengan doktor anda. Bersama-sama pakar perubatan, anda boleh memutuskan apa yang terbaik untuk diri anda.
Malaysia telah dianugerahkan beberapa kali sebagai destinasi terbaik untuk mendapatkan rawatan perubatan yang berkualiti dengan harga terjangkau. Cari hospital di Malaysia yang sesuai dengan keadaan khusus anda di sini: Panduan Hospital
Bagaimana untuk bersiap sedia dengan appointment anda?
Untuk persiapan anda, doktor pakar mungkin akan bertanya kepada anda beberapa soalan seperti berikut:
-
Adakah tanda-tanda penyakit pada anda berlaku secara berterusan atau kadang-kadang sahaja?
-
Bagaimanakah tahap keparahan tanda-tanda penyakit pada badan anda?
-
Sejak bilakah anda mula mengalami tanda-tanda penyakit tersebut?
-
Adakah anda mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit tersebut?
-
Jika ada, apakah yang mungkin menyebabkan tanda-tanda penyakit yang ada pada anda semakin parah?
-
Jika ada, apakah yang anda lakukan untuk melegakan apa-apa tanda penyakit yang ada pada anda?
Apa yang anda boleh lakukan untuk bersiap sedia sebelum appointment adalah:
-
Senaraikan tanda-tanda penyakit yang anda hidapi, termasuk mana-mana yang tidak berkaitan dengan sebab anda memohon appointment.
-
Ketahui segala sekatan yang perlu ada sebelum appointment. Pastikan untuk bertanya terlebih dahulu segala apa yang perlu dilakukan sebelum appointment (spt. mengehadkan diet anda, dll.).
-
Senaraikan semua ubat-ubatan, vitamin atau suplemen yang anda ambil.
-
Jikalau boleh, ajak ahli keluarga ataupun rakan untuk bersama anda. Kadang-kadang kita sukar untuk mengingati semua maklumat semasa appointment. Sesiapa yang mengiringi anda mungkin mengingati sesuatu yang anda terlepas ataupun terlupa.
-
Senaraikan maklumat peribadi utama anda yang dapat membantu doktor dalam penyiasatan penyakit anda (spt. tekanan-tekanan utama dalam hidup anda ataupun segala perubahan dalam kehidupan anda baru-baru ini).
-
Senaraikan semua soalan yang anda ingin bertanya kepada doktor.
Berikut adalah soalan-soalan umum yang boleh ditanya kepada doktor anda:
-
Apakah kemungkinan punca kepada tanda-tanda penyakit yang muncul pada saya?
-
Pemeriksaan apa yang perlu saya jalani? Perlukah saya membuat apa-apa persediaan khas sebelum melakukan pemeriksaan tersebut?
-
Apakah tahap keparahan penyakit yang ada pada saya?
-
Perlukah saya mendapatkan pendapat doktor kedua tentang keadaan saya?
-
Apakah pilihan-pilihan rawatan yang sesuai dengan keadaan saya?
-
Apakah kesan sampingan yang akan saya alami untuk setiap rawatan?
-
Bagaimanakah setiap pilihan rawatan tersebut menjejaskan kehidupan seharian saya?
-
Berapa besarkah peluang yang saya ada untuk sembuh sepenuhnya dengan menjalani rawatan tersebut?
-
Perlukah saya menjalani rawatan tersebut dengan segera tanpa membuang masa?
-
Berapa lamakah saya perlu menjalani rawatan tersebut?
-
Berapa kerapkah pemeriksaan yang perlu saya buat selepas rawatan?
-
Apakah tanda-tanda dan komplikasi yang perlu saya hadapi pada masa hadapan?
-
Apakah alternatif lain yang ada selain ubat-ubatan yang anda berikan kepada saya? (jika ada)
-
Perlukah saya membuat apa-apa perubahan kepada gaya hidup saya? Apakah pemakanan dan tahap aktiviti yang sesuai untuk keadaan saya?
-
Apa lagi yang boleh saya lakukan untuk melindungi kesihatan saya?
-
Saya mempunyai masalah kesihatan yang lain. Bagaimanakah saya boleh menguruskan keadaan ini dengan sebaik-baiknya?
Jika anda ada soalan-soalan lain, janganlah teragak-agak untuk bertanya semasa appointment anda.
Updated: February 02, 2019
References:
-
Beirman, Robin., Engel, Roger. An A-Z of Symptoms and Signs. Palgrave Macmillan Australia, 2009.
-
Papadakis, Maxine A., McPhee, Stephen J., Rabow, Michael W. CURRENT Medical Diagnosis and Treatment. 58th ed. McGraw Hill Professional, 2018.
-
Porter, Robert S. The Merck Manual of Patient Symptoms: A Concise, Practical Guide to Etiology, Evaluation and Treatment. Wiley, 2008.
-
Griffith, Henry W. Complete Guide to Symptoms, Illness & Surgery. 3rd ed. Body Press/Perigree Books, 1995.
-
Centers for Disease Control and Prevention. 2019. Prostate Cancer. [https://www.cdc.gov/cancer/prostate/]. Accessed 23 January 2019.
-
National Cancer Institute. 2019. Prostate Cancer. [https://www.cancer.gov/types/prostate]. Accessed 17 January 2019.

Sedang mencari rawatan berkualiti & biaya terjangkau?
Subscribe dengan kami untuk menjana perkiraan biaya rawatan di Kuala Lumpur
Share on:
Tel: +60 12 6810227
Email: support@rantaumeditrip.com
19, Jalan Wangsa 3, Taman Wangsa UKAY, 68000 Ampang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Copyright © 2017-2019 by Rantau Medi Trip