
SIROSIS HATI (PENYAKIT HATI)
SIROSIS HATI (PENYAKIT HATI)
Apa itu sirosis hati?
-
Sirosis hati adalah keadaan di mana hati tidak dapat berfungsi dengan baik kerana kehadiran banyak tisu berparut pada permukaannya.
-
Tisu berparut terbentuk apabila kerosakan pada hati disembuhkan secara semulajadi oleh badan manusia. Kerosakan pada hati selalunya disebabkan oleh meminum alkohol secara berlebihan dan penyakit hepatitis.
-
Sekiranya kerosakan pada hati berlaku secara kerap, parut-parut pada hati akan terkumpul dan dalam jangka masa lama akan menyebabkan penyakit sirosis hati.
-
Sirosis hati adalah penyakit yang tidak dapat disembuhkan tetapi kerosakan pada hati akan dapat dikawal sekiranya dirawat di peringkat awal.
Apa tanda-tandanya?
Antara tanda-tanda anda mungkin menghidap sirosis hati adalah:
-
Pengumpulan cecair di dalam perut anda (ascites)
-
Penampakan saluran darah yang jelas pada kulit anda
-
Kemerahan di tapak tangan
-
Berasa loya
-
Kekeliruan
-
Rasa pening
-
Tiba-tiba menjadi gagap semasa bercakap
-
Bengkak pada mana-mana bahagian kaki (edema)
-
Keletihan
-
Mudah berdarah atau lebam
-
Hilang selera makan
-
Pengurangan berat badan
-
Kulit gatal
-
Warna kuning pada kulit dan mata (penyakit kuning)
-
Haid tidak datang bagi wanita (bukan menopaus)
-
Mati pucuk dan kemunculan payudara bagi lelaki (gynecomastia)

Kedudukan hati manusia

Perbezaan hati normal vs hati bersirosis

Minum alkohol berlebihan punca sirosis hati
Apa puncanya?
Antara punca-punca sirosis hati adalah:
-
Alkohol: Minum alkohol secara berlebihan akan meningkatkan risiko sirosis hati.
-
Dijangkiti virus hepatitis: Kemungkinan tinggi anda akan menghidap sirosis hati jikalau anda dijangkiti virus hepatitis.
-
Obesiti: Badan yang gemuk meningkatkan risiko sirosis hati.
Bagaimana mencegah & membendungnya?
Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah sirosis (penyakit hati) adalah:
-
Kerap bersenam untuk mengurangkan berat badan dan megekalkan kesihatan tubuh badan.
-
Makan makanan yang menjamin kesihatan tubuh badan seperti:
-
Daging dan ayam tanpa lemak
-
Sayur-sayuran
-
Buah-buahan
-
Produk tenusu rendah lemak
-
Bijirin (terutamanya oat)
-
-
Kurangkan minum alkohol. Berhenti minum alkohol dengan sepenuhnya jikalau anda mempunyai tanda-tanda sirosis hati.
-
Jangan berkongsi jarum dan hindari daripada melakukan hubungan intim tanpa perlindungan untuk mengelakkan dijangkiti virus hepatitis.

Pendermaan organ hati
Bagaimana ia dikesan?
Jikalau terdapat tanda-tanda sirosis hati (penyakit hati) yang telah dinyatakan, bincangkan dengan doktor mengenai situasi khusus anda. Dengan nasihat doktor, anda boleh memutuskan sama ada kaedah pemeriksaan tersebut adalah tepat untuk anda.
Antara kaedah pengesanan sitosis hati yang sering digunakan adalah:
-
Ujian darah: Sampel darah anda akan diambil dan dianalisis untk mengesan keadaan hati anda.
-
Ujian pengimejan bertujuan menghasilkan imej hati anda untuk mengesan segala keadaan yang tidak normal menggunakan :-
-
CT scan
-
Magnetic resonance imaging (MRI)
-
Magnetic resonance elastography (MRE)
-
Ultrasound
-
Bagaimana ia dirawat?
Bincangkan dengan doktor anda jenis rawatan yang terbaik untuk keadaan khusus anda.
Antara kaedah-kaedah rawatan sirosis hati (penyakit hati) adalah:
-
Pengambilan ubat-ubatan khusus untuk merawat tanda-tanda sirosis hati seperti:
-
Ubat menghalang pengumpulan cecair dalam badan
-
Ubat mencegah darah tinggi
-
Ubat menghalang segala jangkitan virus
-
Ubat mengawal kandungan toksin dalam badan
-
-
Prosedur untuk menggantikan hati anda yang tidak dapat dipulihkan dengan hati yang sihat dari:
-
Penderma yang sudah meninggal dunia
-
Penderma yang masih hidup (sebahagian hatinya)
-
Bila anda perlu berjumpa doktor?
-
Buat appointment dengan doktor anda jika anda mempunyai tanda-tanda penyakit sirosis hati yang membimbangkan.
-
Setiap hospital mempunyai kaedah yang berbeza untuk saringan penyakit sirosis hati.
-
Bincangkan pemeriksaan sirosis hati dengan doktor anda. Bersama-sama pakar perubatan, anda boleh memutuskan apa yang terbaik untuk diri anda.
Malaysia telah dianugerahkan beberapa kali sebagai destinasi terbaik untuk mendapatkan rawatan perubatan yang berkualiti dengan harga terjangkau. Cari hospital di Malaysia yang sesuai dengan keadaan khusus anda di sini: Panduan Hospital
Bagaimana untuk bersiap sedia dengan appointment anda?
Untuk persiapan anda, doktor pakar mungkin akan bertanya kepada anda beberapa soalan seperti berikut:
-
Adakah tanda-tanda penyakit pada anda berlaku secara berterusan atau kadang-kadang sahaja?
-
Bagaimanakah tahap keparahan tanda-tanda penyakit pada badan anda?
-
Sejak bilakah anda mula mengalami tanda-tanda penyakit tersebut?
-
Berapa kerapkah anda meminum alkohol?
-
Pernahkah anda mengalami penyakit hepatitis / jaundis (penyakit kuning)?
-
Jika ada, apakah yang mungkin menyebabkan tanda-tanda penyakit yang ada pada anda semakin parah?
-
Jika ada, apakah yang anda lakukan untuk melegakan apa-apa tanda penyakit yang ada pada anda?
Apa yang anda boleh lakukan untuk bersiap sedia sebelum appointment adalah:
-
Senaraikan tanda-tanda penyakit yang anda hidapi, termasuk mana-mana yang tidak berkaitan dengan sebab anda memohon appointment.
-
Ketahui segala sekatan yang perlu ada sebelum appointment. Pastikan untuk bertanya terlebih dahulu segala apa yang perlu dilakukan sebelum appointment (spt. mengehadkan diet anda, dll.).
-
Senaraikan semua ubat-ubatan, vitamin atau suplemen yang anda ambil.
-
Jikalau boleh, ajak ahli keluarga ataupun rakan untuk bersama anda. Kadang-kadang kita sukar untuk mengingati semua maklumat semasa appointment. Sesiapa yang mengiringi anda mungkin mengingati sesuatu yang anda terlepas ataupun terlupa.
-
Senaraikan maklumat peribadi utama anda yang dapat membantu doktor dalam penyiasatan penyakit anda (spt. tekanan-tekanan utama dalam hidup anda ataupun segala perubahan dalam kehidupan anda baru-baru ini).
-
Senaraikan semua soalan yang anda ingin bertanya kepada doktor.
Berikut adalah soalan-soalan umum yang boleh ditanya kepada doktor anda:
-
Apakah kemungkinan punca kepada tanda-tanda penyakit yang muncul pada saya?
-
Pemeriksaan apa yang perlu saya jalani? Perlukah saya membuat apa-apa persediaan khas sebelum melakukan pemeriksaan tersebut?
-
Apakah tahap keparahan penyakit yang ada pada saya?
-
Perlukah saya mendapatkan pendapat doktor kedua tentang keadaan saya?
-
Apakah pilihan-pilihan rawatan yang sesuai dengan keadaan saya?
-
Apakah kesan sampingan yang akan saya alami untuk setiap rawatan?
-
Bagaimanakah setiap pilihan rawatan tersebut menjejaskan kehidupan seharian saya?
-
Berapa besarkah peluang yang saya ada untuk sembuh sepenuhnya dengan menjalani rawatan tersebut?
-
Perlukah saya menjalani rawatan tersebut dengan segera tanpa membuang masa?
-
Berapa lamakah saya perlu menjalani rawatan tersebut?
-
Berapa kerapkah pemeriksaan yang perlu saya buat selepas rawatan?
-
Apakah tanda-tanda dan komplikasi yang perlu saya hadapi pada masa hadapan?
-
Apakah alternatif lain yang ada selain ubat-ubatan yang anda berikan kepada saya? (jika ada)
-
Perlukah saya membuat apa-apa perubahan kepada gaya hidup saya? Apakah pemakanan dan tahap aktiviti yang sesuai untuk keadaan saya?
-
Apa lagi yang boleh saya lakukan untuk melindungi kesihatan saya?
-
Saya mempunyai masalah kesihatan yang lain. Bagaimanakah saya boleh menguruskan keadaan ini dengan sebaik-baiknya?
Jika anda ada soalan-soalan lain, janganlah teragak-agak untuk bertanya semasa appointment anda.
Updated: February 13, 2019
References:
-
Papadakis, Maxine A., McPhee, Stephen J., Rabow, Michael W. CURRENT Medical Diagnosis and Treatment. 58th ed. McGraw Hill Professional, 2018.
-
Porter, Robert S. The Merck Manual of Patient Symptoms: A Concise, Practical Guide to Etiology, Evaluation and Treatment. Wiley, 2008.
-
Beirman, Robin., Engel, Roger. An A-Z of Symptoms and Signs. Palgrave Macmillan Australia, 2009.
-
Griffith, Henry W. Complete Guide to Symptoms, Illness & Surgery. 3rd ed. Body Press/Perigree Books, 1995.
-
National Health Service Inform. 2019. Cirrhosis. [https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/stomach-liver-and-gastrointestinal-tract/cirrhosis]. Accessed 11 February 2019.
-
American Liver Foundation. 2019. Liver Disease. [https://liverfoundation.org/for-patients/about-the-liver/the-progression-of-liver-disease/#1503432933768-040e8645-d918]. Accessed 09 February 2019.

Sedang mencari rawatan berkualiti & biaya terjangkau?
Subscribe dengan kami untuk menjana perkiraan biaya rawatan di Kuala Lumpur
Share on:
Tel: +60 12 6810227
Email: support@rantaumeditrip.com
19, Jalan Wangsa 3, Taman Wangsa UKAY, 68000 Ampang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Copyright © 2017-2019 by Rantau Medi Trip